Thursday, 3 October 2019

USAH PERSENDA LAGU KEBANGSAAN “NEGARAKU”


SEMAKIN hari semakin galak puak-puak tertentu di Sarawak yang cuba memainkan sentimen yang pelik-pelik.  Sikap opportunis sesetengah ahli politik yang bermain api atas nama survival seharusnya jangan dipandang sepi.  Tidak berdiri sewaktu lagu kebangsaan dimainkan sebagai tanda protes senyap kerana isu royalti tidak diberikan seharusnya tidak berlaku.  Isu royalti adalah isu kerajaan Persekutuan yang tidak melaksanakannya jangan pula disamakan dengan lagu kebangsaan “Negaraku” yang menjadi lambang penghormatan dan ikon seorang warganegara Malaysia.  

Semalam pula timbul lagi satu isu yang mana Parti Bumi Kenyalang, salah satu parti tempatan Sarawak mencadangkan agar lagu kebangsaan “Negaraku” diubah dan diganti yang baharu kerana konon-kononnya tidak mencerminkan makna sebenar penubuhan Malaysia.  

Mengulas hal tersebut, Datuk Abdul Karim Hamzah yakni Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak yang juga ADUN Asajaya bertegas menyatakan bahawa mana-mana individu seharusnya tidak mencampur-adukkan politik dengan semangat patriotisma.  Lagu Kebangsaan bukannya seperti lagu carta hit yang boleh ditukar ganti sesuka hati kerana ianya mempunyai makna dan sejarahnya serta dipersetujui oleh kesemua pembentuk Negara Malaysia malah mempunyai aktanya tersendiri.   

Pautan berita penuh adalah seperti berikut:


Untuk rekod jika kita mengimbau sejarah Lagu Kebangsaan “Negaraku” bermula pada tanggal 5hb Ogos 1957 yang mana pada ketika itu ianya diadaptasi dari lagu “Allah Lanjutkan Usia Sultan” yang menjadi lagu rasmi sebuah negeri di Persekutuan Tanah Melayu iaitu negeri Perak sejak di tahun 1888. Pada masa itu Persekutuan Tanah Melayu diambang menyambut kemerdekaan mereka yang diwar-warkan pada tanggal 31 Ogos 1957 dan lirik lagu Negaraku dicipta oleh Saiful Bahari.  

Kemudian sejajar dengan waktu, rentak lagu Negaraku mengalami sedikit perubahan tanpa liriknya digubah dan lagu Negaraku yang kita dengar sehingga ke hari ini, pertama kalinya didendangkan kepada Malaysia ketika di ambang sambutan Hari Merdeka Malaysia pada tanggal 31 Ogos 2003.

Setiap lagu kebangsaan bukanlah sembrono diangkat sebegitu sahaja malahan ianya dilindungi dibawah undang-undang Malaysia.  Dek kerana itu, pihak Kerajaan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk mewartakannya pada tahun 1968 yang mana dikenali sebagai Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan kemudiannya akta tersebut disemak semula oada tahun 1989.

Jadi, tiada signifikasi jika kita hendak menyarankan pengubahan lagu kebangsaan sedangkan hakikatnya sebagai rakyat Sarawak yang harus kita perjuangkan sekarang adalah segala hak yang hilang dan terhakis selama ini mengikut Perjanjian Malaysia 1963. Ada lagi yang lebih diutamakan daripada hal picisan seperti ini.  

Jika benar-benar hendak lagu sendiri, puak-puak yang seangkatan dengan Parti Bumi Kenyalang sabarlah menanti anda membentuk negara sendiri. Buat masa ini, mana-mana rakyat Sarawak yang masih memegang kad pengenalan Sarawak warganegara Malaysia, hormatilah lagu kebangsaan Negara Malaysia. TITIK!  

No comments:

Post a Comment