Thursday 10 December 2015

KUOTA DAN KEMENANGAN?

Menjelang pilihan raya negeri Sarawak ke-11, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) menunjukkan minat masing-masing untuk menagih tambahan kerusi. Minat untuk meminta tambahan kerusi ini selepas Dewan Rakyat meluluskan usul Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dengan adanya persempadanan baru, sudah tentu ada tuntutan tambahan kerusi bagi kawasan baru pilihan raya tersebut. Tiga parti komponen BN - SUPP, PRS dan SPDP berikrar akan mematuhi keputusan pucuk pimpinan berhubung agihan kerusi pada pilihan raya negeri akan datang walaupun pada dasarnya mereka ada meminta tambahan kerusi untuk bakal calon masing-masing.
Berikutan persempadanan semula itu, Sarawak akan mempunyai 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 71 pada masa kini. Bahagian pilihan raya yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.
Apa juga pertambahan terhadap permintaan daripada parti komponen itu, ia harus dirujuk kepada kebarangkalian untuk mencapai kemenangan dalam kawasan-kawasan tersebut. Malah ia juga terpulang kepada kebijaksanaan Pengerusi BN, Datuk Patinggi Adenan Haji Satem di dalam mengagihkan kerusi berkenaan.
Yang penting dalam pengagihan ialah kemenangan dan memperkukuhkan kerajaan BN itu sendiri, Kebijaksanaan meletakkan calon harus diambil kira oleh parti komponen dan usah tamak haloba meletakkan calon di sesuatu kawasan semata-mata untuk memenuhi kuota.
Tetapi bagaimana pula nasib dan halatuju kedudukan parti “BN friendly” seperti UPP dan TERAS selepas ini?

Gambar ehsan www.theantdaily.com


No comments:

Post a Comment