Thursday, 31 December 2015

BICARA TOL AMBANG TAHUN BARU SARAWAK.



RAKYAT Sarawak menanti ambang tahun 2016 dengan penuh keterujaan meskipun seharian sebelum tahun 2015 melabuh tirainya, bandaraya Kuching mengalami cuaca hujan dan sebahagian kawasan rendah turut ditenggelami air.
Faktor cuaca dan kesesakan jalanraya menuju ke Tol Jambatan Tun Sallehuddin tidak melunturkan semangat warga bandaraya Kuching untuk bersama~sama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Adenan Satem menyambut ambang Tahun Baru 2016.
Menariknya bagi rakyat Sarawak, di sebalik hujan ada sinar baru yang menyerlah. Penghapusan tol Jambatan Tun Sallehuddin membuktikan Sarawak di bawah kepimpinan Datuk Adenan telah mengotakan janji mengurangkan beban kehidupan rakyat sebelum pilihanraya.
Terdahulu pada tahun 2015, Sarawak turut menghapuskan kutipan tol Jambatan ASENIA yang menghubungkan Miri dan Negara Brunei Darussalam dan Tol Jambatan Lanang di Sibu.
Umum sedia maklum, penghapusan tol di ketiga~tiga jambatan ini membabitkan sejumlah peruntukkan kewangan yang tidak diketahui berapa jumlahnya sebagai bayaran pampasan terhadap pemegang konsensi yang bertanggungjawab mengutip bayaran tol.
Bagi kerajaan Sarawak, peruntukkan pampasan bukanlah persoalannya. Keutamaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat negeri ini adalah fokus utama Datuk Adenan Satem.
Di sebalik usaha pihak tertentu mempertikaikan corak kepimpinan Ketua Menteri dan meragui sejauhmana kemampuan Datuk Adenan, ternyata kelantangan keputusan dan ketegasan tindakan beliau disenangi rakyat Sarawak.
Penghapusan tol merupakan bukti jelas Sarawak perihatin terhadap nasib rakyatnya. Pihak tertentu yang cuba meracuni pemikiran rakyat untuk menanamkan kebencian terhadap kerajaan yang memerintah sekarang ini, seeloknya berfikir banyak kali sebelum meneruskan hasrat mereka.
Rasanya selepas ini, pihak tertentu yang terus ingin menanamkan sentimen kebencian rakyat terhadap kerajaan dan kepemimpinan Ketua Menteri Sarawak, perlu terlebih dahulu memikirkan strategi bagaimana mereka dapat mengurangkan beban kos seharian yang dihadapi rakyat.
Sekiranya mereka berjaya memikirkan formula dan melaksanakan strategi mengurangkan beban kos kehidupan seharian, besar kemungkinan rakyat menyenangi tindakan mereka. Namun itu bukan jaminan kejayaan mereka mempengaruhi rakyat untuk membenci kerajaan sedia ada.
Mereka harus bersedia juga untuk dikritik rakyat sekiranya gagal memenuhi kehendak dan tuntutan yang tidak berkesudahan.

Credit photo to Salfian Nawawi & Sarawak Trafik Info

No comments:

Post a Comment