Tuesday, 8 December 2015

NAIK TARAF JALAN MARUDI~BARAM.


Penduduk Marudi menggesa kerajaan negeri memberi keutamaan ke arah usaha mempercepatkan kerja~kerja menaik taraf jalan Marudi~Baram (gambar) melalui dana pembangunannya.

Semasa membentangkan bajet pembangunan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuching, Isnin lepas (7 Disember 2015), Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata Sarawak memperuntukkan dana sejumlah RM2.65 bilion pada tahun hadapan bagi melaksanakan program dan projek pembangunan luar bandar.

"Antara program dan projek menggunakan peruntukan pembangunan itu ialah bagi memperbaiki sistem perhubungan di negeri ini seperti jalan raya dan jambatan yang dianggarkan menelan belanja RM571.80 juta," jelas Datuk Adenan Satem.

Sejak kebelakangan ini, kesukaran penduduk Marudi melalui jalan Marudi~Baram yang menghubungkan Marudi dengan Miri menjadi viral di media sosial.

Kenderaan berat yang lebih muatan dan berulang alik melalui jalan tersebut mengakibatkan jalan itu mengalami kerosakan teruk.

Asalnya, jalan itu merupakan jalan balak yang dinaik taraf di bawah Projek Jiwa Murni antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Buat masa ini, Jabatan Kerja Raya Sarawak sedang menjalankan kajian mengenai kos untuk menaik taraf jalan ini sekurang~kurangnya kepada standard R1," kata Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika di tanya usaha kerajaan menangani kaedah menaik taraf jalan tersebut.

Beliau memberi jaminan akan memastikan usaha menaik taraf jalan ini dipercepatkan seperti yang dimohon oleh kerajaan negeri iaitu sekurang~kurangnya standard R1.

Pelaksanaan kerja~kerja naik taraf Jalan Marudi~Baram diletakkan di bawah bidang kuasa JKR Sarawak.


No comments:

Post a Comment