Friday, 11 December 2015

PANTAI KAMPUNG PUNANG, LAWAS

Pantai Kampung Punang, kira~kira 12 kilometer dari pekan Lawas. Istimewanya kedudukan Kampung Punang menghadap Laut Cina Selatan.
Menarik lagi, ditengah~tengah kampung ini terdapat dua aliran anak sungai menuju ke laut. Sebahagian rumah penduduk Kampung Punang didirikan di atas air. Deretan rumah~rumah ini kelihatan menarik dan indah jika disaksikan dari laut terutama ketika air pasang.
Selain pantainya yang landai, jeti kayu berusia 20 tahun menjadi tumpuan orangramai berkunjung ke sini setiap hujung minggu terutama kaki pancing.
Kedudukan jeti bermula dari daratan Kampung Punang menganjur ke laut, juga menarik minat orangramai santai di sini sambil menyaksikan keindahan fenomena matahari terbenam.
Majoriti penduduknya terdiri dari masyarakat Kedayan~Brunei. Masyarakat di sini cukup terkenal dengan keramahan mereka. Jadi tidak hairan jika anda dengan mudah disapa mesra malah dipelawa menikmati kopi panas sambil berbual~bual kosong oleh penduduknya meskipun itu merupakan kunjungan kali pertama anda. 
Kampung Punang cukup sinomin dengan perusahaan desa yang berkait rapat dengan kehidupan nelayan pesisir pantainya iaitu salai ikan tamban yang juga dikenali "Dadah Tahai".
Kesabaran dan ketelitian kaum ibu di sini mengusahakan "Dadah Tahai" terserlah melalui kualiti salai ikan tamban yang dihasilkan, antara yang terbaik dan menjadi pilihan penggemar "Dadah Tahai" serta mendapat permintaan tinggi dari negara jiran, Brunei Darussalam.
Ada ketikanya pengunjung berpeluang menyaksikan aktiviti menjemur ikan bilis segar hasil tangkapan nelayan Kampung Punang. Terdapat ternakan ikan dalam sangkar yang diusahakan penduduk kampung sebagai salah satu alternatif meningkatkan sumber pendapatan harian mereka.
Hutan bakau air masin yang melatari sebahagian kawasan Kampung Punang turut dikongsi habitat alam semulajadi lain.
Kampung Punang bakal menjadi destinasi terbaru produk pelancongan kembara alam semulajadi, pantai dan warisan budaya kepada Sarawak di masa hadapan.


No comments:

Post a Comment