Sunday, 20 December 2015

DATUK ADENAN DAN KUASA MEDIA

"SAMADA sesuatu perkara itu berkaitan kesedaran alam sekitar atau pendedahan mengenai sesuatu penyelewangan, termasuk dalam kerajaan, media berperanan untuk melaporkannya kerana kerajaan sendiri menggalakkannya."
~Petikan ucapan Datuk Adenan Satem pada Majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2015.
Padat, penuh makna dan tanpa berselindung ucapan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Adenan Satem terhadap wartawan.

Meneliti ucapan beliau, jelas Datuk Adenan Satem menggalakkan lapuran media yang lebih berani dan telus mengenai sesuatu perkara hatta ia melibatkan mengenai penyelewangan dalam kerajaan yang "sebenarnya telah dihidu lebih awal oleh media".

Menurut beliau, hari ini media tidak boleh berdiam diri apabila mendapati wujudnya ancaman dalam masyarakat atau lebih teruk lagi memilih untuk "menafikan kewujudannya" dan enggan berbuat sesuatu mengenainya.

Kenyataan Datuk Adenan ini sekaligus menggambarkan ketelusan corak pentadbiran dan pendirian beliau yang mahu merapatkan lagi jurang kerjasama media dan kerajaan.

Datuk Adenan sendiri pernah melalui pengalaman sebagai wartawan. Sudah tentu pendirian berani beliau ini dilihat tidak janggal. Berdasarkan pengalaman itu, beliau cukup memahami apa yang mahu ditonjolkan oleh media selagi mana lapuran mereka disokong fakta dan bukti yang kukuh.

"Media mempunyai peluang serta tanggungjawab untuk melapurkan dan mendedahkan kelemahan yang mereka dapati berlaku agar masalah yang ditonjolkan itu dapat dicari penyelesaiannya."

Pendirian tegas Datuk Adenan Satem ini membuktikan keterbukaan beliau terhadap kepentingan "kuasa media atau power media" merangkumi juga media sosial sebagai capaian maklumat dan akses berita terpantas masa kini.

No comments:

Post a Comment