Saturday 12 December 2015

TRADISI PERKAHWINAN CAMPUR ANTARA ETNIK SARAWAK

Musim cuti sekolah sudah tentu banyak perancangan yang diatur oleh sebuah keluarga. Dari majlis berkhatan, percutian keluarga dan sudah tentu acara perkahwinan juga menjadi acara “wajib ada”. Manakan tidak hanya pada ketika inilah ramai keluarga, sahabat handai yang tinggal berjauhan akan lebih mudah untuk memberikan ruang untuk bersua muka.

Di Sarawak juga tidak kurang hebatnya. Malah hampir setiap minggu mesti ada jemputan kahwin yang harus dihadiri demi untuk menyambung hubungan ukhuwah antara keluarga dan rakan taulan.

Dan apabila berbicara di dalam konteks perkahwinan pula, salah satu tradisi yang menjadikan masyarakat Sarawak itu unik adalah betapa penghidupan di dalam masyarakat majmuk di sebuah negeri yang berbilang bangsa telah mengeratkan silaturrahim antara etnik iaitu melalui perkahwinan campur.

Tiada yang pelik untuk masyarakat Sarawak sekiranya walaupun berketurunan Melayu tetapi mempunyai keluarga yang berketurunan Iban, Bidayuh dan dari kaum-kaum yang lain. Dan tiada yang pelik apabila masyarakat Sarawak yang beragama Islam mempunyai kaum keluarga yang beragama Kristian mahupun pagan.

Dan tradisi perkahwinan campur inilah yang menjadikan mengapa masyarakat Sarawak itu hidup berharmoni dan sentiasa menghormati adat resam dan agama yang lain kerana cubit paha kiri, paha kanan pun terasa.

Tanyalah pada mana-mana keluarga masyarakat Sarawak sudah tentu mereka akan memberikan jawapan bahawa mereka sentiasa mempunyai pakcik, makcik, sepupu, datuk nenek daripada kaum yang lain. Ini kerana sejak dahulu lagi perkahwinan campur merupakan lambang penyatuan masyarakat Sarawak.

Tradisi perkahwinan campur inilah yang menjadikan masyarakat Sarawak itu unik.

Salam tahniah untuk setiap pasangan pengantin Sarawak yang terus mempertahankan tradisi ini.


Nota: Gambar yang disertakan adalah satu majlis perkahwinan penyatuan hati seorang "pahlawan" Melayu Sarawak dengan "kumang" jelita anak Iban di sebuah hotel terkemuka di Kuching, Sarawak (12.12.2015). Semoga kekal hingga ke jannah, Kasmady & Cindy. 




No comments:

Post a Comment