DISEMBER bakal melabuhkan tirainya, cuma beberapa hari sahaja lagi. Selamat tinggal Disember! Selamat datang Januari sekaligus melangkah ke tahun baru...2016.
Dalam keghairahan ramai di antara kita menghabiskan masa hujung tahun dengan percutian bersama orang tersayang dan keluarga masing~masing, sebahagian dari kita memendam keresahan yang di sebalik manisnya senyuman.
Setiapkali Disember menjelma, golongan nelayan diantara mereka yang seringkali dihambat kegelisahan berpanjangan. Teringat, laut adalah sumber rezeki yang menampung kehidupan harian mereka.
Secara tradisinya, Disember adalah musim tengkujuh. Laut bergelora dan keadaan angin kencang yang berlaku diluar jangkaan mengekang usaha mereka mencari rezeki di laut. Bukanlah sesuatu yang luarbiasa melihat perahu nelayan tersadai di daratan berminggu~minggu lamanya sepanjang musim tengkujuh.
Lebih membebankan lagi bagi keluarga nelayan yang mana anak~anak mereka masih bersekolah dan sedang menuntut di pusat pengajian tinggi.
Terfikir, di mana dan bagaimana mengusahakan rezeki tambahan bagi menampung perbelanjaan anak~anak yang bakal melangkah memulakan sesi persekolahan baharu dan biayai keperluan anak~anak di kolej dan universiti.
Memikirkan pendapatan yang tidak menentu hasil dari laut, musim tengkujuh yang melanda tanpa kenal erti simpati dan tempias dari kos barang keperluan harian yang meningkat, masyarakat nelayan terus dihimpit istilah tradisional sebagai "golongan yang perlu diberi perhatian dan dibantu oleh kerajaan".
Mungkin ada di kalangan kita beranggapan bantuan sara hidup bulan itu sudah memadai sebagai usaha kerajaan membantu meringankan beban masyarakat nelayan.
Sebenarnya, berapa ramai pula di antara kita yang mengetahui ada kalangan nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan nelayan kawasan masing~masing ini terpaksa "menunggu berbulan~bulan" duit sara hidup mereka dikreditkan ke akaun masing~masing.
Lebih menyedihkan, terdapat segelintir nelayan terpaksa turun naik pejabat pihak berkenaan untuk mengetahui status sara hidup mereka. Ada di kalangan nelayan ini sampai jemu untuk berurusan dan akhirnya timbul pelbagai persoalan yang tiada jawapan . Akhirnya rasa puashati yang hanya mampu diluahkan sesama nelayan.
Dewasa sebagai anak nelayan meninggalkan kesan mendalam di dalam lipatan sejarah kehidupan sekaligus memahami penderitaan masyarakat nelayan terutama setiapkali musim tengkujuh pada bulan Disember.
Bukan juga sesuatu yang luarbiasa mendengar kisah nelayan terpaksa menjual peralatan menangkap ikan semata~mata untuk menampung keperluan perbelanjaan persekolahan anak~anak mereka.
"Semua itu boleh dibeli lagi bila ada rezeki dari laut nanti. Ingat, pelajaran itu penting. Kalau boleh jangan lagi generasi kita mewarisi kehidupan sebagai nelayan dan bergantung rezeki pada laut sepanjang hayat."
Luahan kata~kata itu amat dalam maknanya dan terus diingati sehingga ke hari ini. Sayangnya, nelayan yang mengorbankan harta demi kesempurnaan pendidikan terhadap anak~anaknya, tidak sempat melihat kecemerlangan pendidikan yang dicapai oleh generasinya.
No comments:
Post a Comment