Wednesday, 23 December 2015

KRISMAS "SARAWAK" STYLE

Sebagai sebuah negeri yang mempunyai masyarakat berbilang agama dan bangsa, Sarawak Bumi Kenyalang sudah tentu mempunyai keunikannya yang tersendiri. Yang menariknya di Sarawak, setiap perayaan besar itu sebenarnya disambut oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum mahupun agama dan ianya telah menjadi tradisi yang diamalkan berkurun lamanya.
Apa tidaknya tradisi perkahwinan campur yang sudah diamalkan sejak dahulu lagi menjadikan masyarakat Sarawak itu kekal bersatu di dalam satu bendera iaitu bendera Sarawak Bumi Kenyalang. Jangan hairan sekiranya adanya rakyat Sarawak yang berkulit cerah bermata sepet tetapi dirinya dari etnik Iban malah boleh bertutur dengan baik di dalam bahasa Cina.
Dan jangan terkeliru sekiranya ada yang bertato di badan sama-sama mengambil wuduk di Masjid ketika hendak mengerjakan solat Jumaat kerana dia sebenarnya sudahpun memeluk Islam. Inilah Sarawak yang unik dan kerana itulah sekiranya apabila kita berbicara tentang agama baik Islam mahupun Kristian atau Buddha serta pagan, boleh dikatakan rakyatnya begitu memahami apa yang dilarang dan diwajibkan untuk penganutnya.
Apabila memperkatakan tentang sambutan Krismas di Sarawak, sudah tentu ianya merupakan salah satu perayaan besar selain daripada Gawai, Hari raya mahupun Tahun Baru Cina. Sambutannya juga meriah dan disambut besar-besaran dengan penuh dasar ukhuwah dan keharmonian.
Sudah menjadi satu tradisi, perayaan Krismas juga merupakan satu platform untuk sesuatu keluarga Sarawak berjumpa sesama keluarga biarpun ada di kalangan keluarga sudah memeluk agama Islam dan sebagainya.
Tradisi “pulang kampung” itu sentiasa dilestarikan walaupun hakikatnya ada yang sudah memeluk Islam dan kemeriahan bersama-sama kaum keluarga tidak membataskan pegangan agama. Tiada pernah ada rasa janggal kerana ingatlah agama itu mampu ditukar namun ikatan kekeluargaan itu tetap tidak boleh diputuskan.
Selain itu, tradisi kunjung-mengunjungi itu tetap utuh dipegang kerana disinilah terjalinnya ikatan ukhuwah antara keluarga dan masyarakat. Walau ada sesetengah pihak yang berkata sumbang dan sebagainya tentang amalan ini namun ianya tetap tidak boleh merobek ikatan antara anak Sarawak.
Malah janganlah terkejut sekiranya ada anak Sarawak akan bangun membela mereka yang lain sekiranya ada yang dihina dan sebagainya kerana setiap anak Sarawak itu telah disematkan sesuatu di dalam diri mereka iaitu kami semua bersaudara.
Biarlah yang mempunyai pemikiran negatif itu “terjun dengan labu-labunya” dan pada mereka yang masih tidak memahami ini jangan terus mempersendakan agama dan tradisi orang lain sekiranya anda sendiri tidak pernah merasainya sebaliknya hanya berdasarkan preskripsi yang retorik semata-mata.
Kami jemput anda untuk bersama-sama kami merayakan setiap perayaan kami termasuklah perayaan Krismas “Sarawak” style.
Selamat Menyambut Hari Krismas

No comments:

Post a Comment