Tuesday, 15 December 2015

SELAMATKAH LAUT KITA?



PELBAGAI persoalan berlegar di kotak fikiran apabila melihat kapal asing begitu mudah berada di perairan Sarawak.

Mungkin kita yang berada di daratan, tidak mengetahui kehadiran kapal peronda pantai China ini sebenarnya sedang berada di perairan Beting Patinggi Ali, yang jaraknya kurang 100 batu nautika dari bandar Bintulu.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kehadiran kapal tersebut hanya diketahui oleh umum sekali sekala melalui pendedahan di media massa selain dimuatnaik ke halaman media sosial.
"Kapal peronda pantai China ini semakin kerap muncul sejak akhir~akhir ini. Jika hanya melintasi kawasan pelantar minyak bukanlah sesuatu yang luarbiasa meskipun kelihatan meragukan. Sebaliknya kapal ini akan berlegar~legar sehingga dua kali pusingan berhampiran kedudukan pelantar minyak. Sudah pasti menimbulkan persoalan kepada kami."
Ini cerita dari laut kita. Pekerja pelantar minyak bercerita tanpa berselindung sambil menyuarakan kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan nasib mereka yang bergantung rezeki di tengah lautan lepas.
Timbul tanda tanya, apa tujuan dan siapa pula yang mengarahkan kapal ini melakukan rondaan di kawasan pelantar minyak tersebut.
Tidak keterlaluan jika mengandaikan seolah~olah pelantar minyak berkenaan seperti milik mereka yang perlu dilindungi sepenuhnya.
Meneliti cerita yang tidak ramai di kalangan kita berpeluang mendengarnya, pernahkah kita terfikir mengapa dengan begitu mudah kapal asing ini bermaharajalela di perairan Sarawak seolah~olah kawasan Beting Patinggi Ali menjadi milik mereka. Kedudukan pelantar minyak dengan Beting Patinggi Ali hanya kira~kira 10 batu nautika.
Terlintas di fikiran, sekiranya tiada kemudahan bekalan minyak yang mencukupi, tidak mungkin kapal peronda pantai China ini bebas meronda tanpa had masa di perairan Sarawak.
Untuk memenuhi keperluan bahan api mencukupi bagi tujuan operasi rondaan, mestilah ada kapal induk atau transit base bagi menempatkan segala keperluan dan logistik mereka selama berada di perairan Sarawak.
Sekiranya ada transit base, dimanakah kedudukannya dan jika ada kapal induk, pelabuhan mana ia berlabuh?
Masih banyak persoalan yang belum terungkai berikutan kehadiran kapal peronda pantai China di perairan Sarawak.
Persoalan utama yang kerap menghantui fikiran kita adalah:
"SEJAUHMANA KITA YAKIN BAHAWA PERAIRAN SARAWAK SELAMAT DARIPADA KEMUNGKINAN ANCAMAN MUSUH YANG SEBENARNYA DI LUAR JANGKAAN KITA."
Sentiasa ingat laut itu luas. Jangan kita yakin tiada mata yang mengintai dari laut. Usah alpa, musuh mungkin sudah berdiri di daratan.

No comments:

Post a Comment