Thursday, 17 December 2015

“MUZIUM HIDUP” KAMPUNG BENUK, PADAWAN

Jika betul-betul hendak merasai bagaimana kebudayaan dan tradisi mengenai masyarakat di Sarawak adalah dengan berkunjung sendiri ke kawasan penempatan mereka.

Salah satu yang paling dekat sekiranya berkunjung ke Kuching, Sarawak adalah Kampung Benuk, Padawan, Kuching. Kampung Benuk, Padawan merupakan antara kampong tertua bagi penempatan etnik kedua terbesar di Sarawak iaitu etnik Bidayuh.

Terletak kira-kira 34 kilometer daripada Bandaraya Kuching merupakan salah satu tempat yang harus dikunjungi bagi setiap pelancong yang berkunjung ke Kuching, Sarawak.

Di perkampungan ini akan merasai sendiri bagaimana indahnya di dalam mengenal budaya etnik Bidayuh kerana apa yang ada di Kampung Benuk ini adalah sesuatu yang asli yang dijaga berkurun lamanya seperti tempat-tempat kediaman mereka, budaya serta masakan mereka.

Disinilah apa yang dikenali sebagai “Muzium Hidup” yang mana ianya dijaga keaslian untuk kita mengenali dengan lebih dekat penghidupan, tradisi dan budaya masyarakat Bidayuh, Sarawak.

Di Muzium Tradisi Kampung Benuk dihiasi dengan pameran-pameran yang menyatakan betapa bangganya etnik Bidayuh dengan sumber warisan mereka.

Di sini juga juga ada dipamerkan beberapa tengkorak purba yang suatu waktu dahulu merupakan tradisi masyarakat Dayak iaitu Perang Kayau atau Perang Memenggal Kepala yang sering menjadi igauan ngeri bagi setiap penduduk di Borneo suatu waktu dahulu.

Selain daripada itu di Kampung Benuk ini juga mempunyai satu keunikan yang tersendiri seperti jambatan buluh yang juga salah satu struktur binaan tradisional masyarakat Bidayuh Sarawak yang masih dipelihara sehingga sekarang.

 

No comments:

Post a Comment