Sunday, 27 December 2015

HALAL DI AWAN BIRU

Ada yang menerima kemunculannya di dalam industri penerbangan Negara Malaysia sebagai sesuatu yang harus dicontohi.  Dan ada juga yang cuba mengaitkannya dengan isu rasis dan sebagainya.  “Halal Di Awan Biru” merupakan sesuatu yang janggal bagi kita kerana selama ini kita disogokkan dengan perkhidmatan penerbangan kelas pertama “Ala Eropah” yang menyajikan minuman beralkohol dan sebagainya.

Dan “Halal Di Awan Biru” ini juga adalah sesuatu yang magis apabila cetusan idea dan pemiliknya adalah dari kalangan rakyat Malaysia yang bukan Islam.  Inilah Rayani Air yang merupakan satu-satunya penerbangan yang mengikuti syariah yang pertama di Malaysia dari segi hidangan halal di awan biru berserta dengan kod etika “menutup aurat” bagi krew-krew penerbangannya.

Pengasasnya adalah satu pasangan suami isteri dari kaum India beragama Hindu iaitu Ravi Alagendrran dan isterinya Karthiyani Govindan.  Menambah lagi keunikan apabila nama syarikat penerbangan ini sendiri adalah nama cantuman pasangan bahagia ini iaitu RA bagi awalan nama Ravi dan YANI untuk akhiran nama Karthiyani.  Agak romantis kerana nama RAYANI inilah yang pelengkap kepada penerbangan “Halal Di Awan Biru” di Malaysia. 

Sewajarnya keberadaan Rayani Air sebagai salah satu pesaing di dalam industri penerbangan awam di Malaysia adalah sesuatu yang harus dipuji.  Ini kerana kewujudannya sudah tentu akan merancakkan lagi perkhidmatan serta pilihan kepada pengguna.  Jadi untuk rakyat Malaysia lebih-lebih lagi orang Sarawak mahupun Sabah ini adalah satu berita baik kerana sekarang kita mempunyai banyak pilihan.

Jika berkemampuan pilihlah perkhidmatan penerbangan “Kelas Pertama”.  Jika betul-betul hendak “save budget” awal-awallah merancang perjalanan dengan memilih “Everyone Can Fly” dan “Smarter Way To Travel”.  Dan sekarang ada pula konsep “Halal Di Awan Biru” oleh Rayani Air.  Yang mana satu idaman kalbu? Kuasa pilihan ditangan anda.

Kredits untuk gambar dari Rayani Air. 

No comments:

Post a Comment