Monday, 7 December 2015

TIDAK HILANG JATI DIRI KERANA BAHASA INGGERIS.

"Wartawan"..."Journalist"...
"Anda menceburi bidang glamour...menarik...sudah pasti hebat sebab boleh menguasai, berkomunikasi dan menulis dengan baik dalam Bahasa Melayu dan Inggeris serentak."

Saya seringkali mengalami senario di atas. Kebiasaanya dengan rasa rendah hati, saya berterus terang menyatakan saya gagal menguasai penulisan Bahasa Inggeris.

Acapkali juga saya mengendalikan assisgnment yang seratus peratus komunikasinya adalah Bahasa Inggeris.Tidak terkecuali teks ucapan dalam Bahasa Inggeris. Kamus dan bertanya kepada rakan setugas antara kaedah saya mengatasi masalah yang berkaitan penulisan Bahasa Inggeris.

Saya rasa ramai di kalangan kita menghadapi kerumitan yang serupa tetapi senario dan bidangnya sahaja yang berbeza.

Mengambil contoh kelemahan sendiri menguasai penulisan dalam Bahasa Inggeris, hasrat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem melaksanakan dasar baharu, Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi kedua di Sarawak terutama dalam urusan rasmi urusan kerajaan ada asasnya.

Di sebalik cetusan polemik, kritikan, ketidakpuasan dan pandangan yang pelbagai terutamanya di laman media sosial, Datuk Adenan tetap dengan keputusan beliau.

"Ada segelintir pencinta bahasa yang tidak bersetuju dengan langkah ini dengan mengatakan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa penjajah....Ya memang orang Inggeris pernah menjajah kita tetapi bahasa ini merupakan bahasa antarabangsa yang harus kita kuasai."
~Ketua Menteri Sarawak,Datuk Adenan Satem~

Dalam konteks Sarawak yang menjalin hubungan perdagangan rapat sejak dahulu lagi dengan negara luar seperti Amerika Syarikat, Jepun, Taiwan dan Korea, penguasaan komunikasi dan penulisan Bahasa Inggeris yang baik menjadi keutamaan.

"Perkara seperti ini yang harus kita perlu sedar mengenainya dan itu sebabnya kita perlu Bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan mereka."

Rasional di sebalik gesaan Datuk Adenan supaya lebih ramai anak Sarawak mendapat pekerjaan dengan syarikat~syarikat bertaraf antarabangsa yang melabur di Sarawak.

"Ramai graduan kita gagal mendapat pekerjaan di syarikat~syarikat besar kerana tidak fasih berbahasa Inggeris dan kebanyakan daripada mereka adalah daripada kalangan Melayu."

Melihat senario ini jugalah mengapa Ketua Menteri Sarawak menekankan perlunya penggunaan Bahasa Inggeris tanpa meminggirkan kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.


Fikirkan dari sudut positif dan jangka panjang di sebalik pelaksanaan dasar baharu ini.

No comments:

Post a Comment