Saturday, 12 December 2015

BIROKRASI PUNCA PROJEK TERLEWAT

Kementerian Perumahan Negeri Sarawak dicadangkan untuk mengurus dan melaksanakan sepenuhnya semua projek perumahan di negeri ini yang dananya dibiayai oleh kerajaan Persekutuan.

Cadangan ini merupakan satu mekanisma mengatasi kelewatan pelaksanaan projek perumahan terutama yang dibiayai kerajaan Persekutuan.

"Bagi memastikan keadaan ini tidak berlanjutan dan usaha kerajaan menyediakan rumah kepada rakyat dapat dipercepatkan, semua projek perumahan yang dibiayai melalui dana kerajaan Persekutuan di negeri ini hendaklah diletakkan sepenuhnya di bawah pengurusan dan pelaksanaan Kementerian Perumahan Negeri Sarawak", jelas Menteri Muda Perumahan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Datuk Abdul Karim mendedahkan karenah birokrasi dan keperluan prasyarat pembinaan rumah tidak seragam mengakibatkan beberapa projek perumahan awam di negeri ini terlewat pelaksanaannya dari jadual asal.

"Berlaku pertindihan fungsi antara Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) dengan Jabatan Perumahan Negara dan Syarikat Perumahan Negara Berhad" katanya lagi.

Sarawak memperuntukan dana berjumlah RM231.71 juta bagi tujuan pembinaan 2,396 unit Rumah Mampu Milik dan Rumah Mesra Rakyat sepanjang tempoh lima tahun.

Kerajaan juga bakal menyediakan lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana rendah di kawasan pinggir bandar bagi menampung permintaan rumah berikutan pertambahan populasi dan penghijrahan penduduk ke kawasan bandar.

No comments:

Post a Comment