Monday 16 September 2019

BENTUK MALAYSIA 1963 DGN HARAPAN SARAWAK MAJU SEPERTI MALAYA -KM ABG JO-


SAMBUTAN Hari Malaysia untuk ke 56 tahun sudahpun menutup tirainya semalam yang diadakan meriah tetapi masih sederhana di Stadium Perpaduan Sarawak, Petrajaya.  Ramai orang kenamaan daripada persekutuan mahupun Sabah yang menghadirkan diri atas semangat rakyat Malaysia yang mana pada tarikh 16 September 1963 itulah sebuah negara yang baharu bernama Malaysia dilahirkan atas muafakat dan kesatuan daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura (keluar pada Ogos 1965), North Borneo (Sabah sekarang) dan Sarawak.  

Berbicara dari konteks itu, jika kita mengamati dan memperhalusi ucaptamar daripada Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Openg sebenarnya mengajak kita semua untuk menyelusuri sejarah penubuhan Malaysia itu sendiri.  Biarpun baru-baru ini kita baru merayakan hari kemerdekaan iaitu 31 Ogos dengan angka kemerdekaan “62 tahun” cukup jelas berbeza dengan apa yang kita fahami sebagai rakyat Sarawak dan Sabah.  

Menurut KM Abang Jo, era dekolonisasi British berakhir selepas sahaja Perang Dunia Kedua berakhir yang menyaksikan mereka kehilangan banyak sumber ekonomi untuk terus berkuasa.  Dek kerana itu mahu tidak mahu, British terpaksa memerdekakan koloni-koloninya menyaksikan India dan Pakistan merdeka pada tahun 1947, Burma 1948 dan Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) pada tahun 1957.  

Oleh kerana Malaya merdeka lebih awal makanya Malaya lebih dahulu membangun berbanding dengan jiran-jiran tetangganya seperti North Borneo (Sabah) dan Sarawak.  Dan ajakan daripada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk Sarawak dan Sabah membentuk Negara Malaysia bagi bersama-sama menjadi satu bangsa Malaysia yang unggul telah diterima oleh pemimpin-pemimpin terdahulu Sabah dan Sarawak.  Dan harapan mereka adalah agar Sabah dan Sarawak mampu membangun seperti Malaya berasaskan konteks-konteks yang diperjelaskan di dalam Perjanjian Malaysia 1963.  

Di dalam MA63 telah diperjelaskan bahawa entiti pembentuk Negara Malaysia itu adalah:

a. Negeri-negeri di Persekutuan Tanah Melayu
b. Singapura
c. Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak

Namun sayangnya selepas berlaku banyak pindaan terhadap lebih-lebih lagi mengambilkira Perlembagaan Malaya diangkat menjadi Perlembagaan Malaysia, entiti-entiti ini sudah tidak dinyatakan secara yang sepatutnya. Malah pindaan pada Perlembagaan Malaysia juga menyaksikan bahawa sudahpun cukup jelas akan hak-hak yang dimiliki oleh Sabah Sarawak (state list) dan hak persekutuan (federal list).

Oleh kerana hal inilah ramai yang terkeliru sehingga ianya menjadi sesuatu yang tidak menyenangkan.  Biarpun begitu dengan adanya jawatankuasa pemandu MA63 yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamed sesungguhnya adalah sesuatu tindakan pro-aktif yang disokong oleh Kerajaan Sarawak sendiri. Ianya sekaligus menunjukkan bahawa kepimpinan Tun Dr. Mahathir mendengar suara hati rakyat Sarawak untuk memartabatkan semula Perjanjian Malaysia 1963.  

Hakikatnya walaupun sekarang Kerajaan Sarawak dan Persekutuan berbeza landasan politik namun ianya tidak akan sesekali menggoyahkan hubungan Sarawak/Persekutuan malah andai ada yang terguris di jiwa akan sesuatu hal ianya akan diselesaikan dengan musyawarah satu keluarga.  56 tahun berlalu, Sarawak akan terus kekal sebagai Sarawak, Malaysia.  

Begitulah antara ringkasan intipati Ketua Menteri Sarawak semalam yang menyaksikan beliau mengajak pihak Persekutuan untuk kembali ke sejarah sebenar penubuhan Negara Malaysia. Dalam nada yang cukup halus tetapi amat tajam jika betul-betul memahaminya lebih-lebih lagi berbicara tentang dogma pemikiran ramai rakyat Malaysia termasuk pemimpin dan penjawat awam pusat.
  

No comments:

Post a Comment