Sunday, 28 February 2016

S4S “MUSANG BERBULU AYAM”




KITA di Sarawak sering dimomokkan dengan dokrin satu kumpulan yang menggelar diri mereka Sarawak For Sarawakian. Berkobar-kobar semangat mereka dengan menjulang tinggi-tinggi gambar Brooke dan bendera Brooke yang terdahulu.

Itu kata merekalah yang gah berkata “kami tidak bersekongkol dengan mana-mana parti politik”. Tetapi di celah-celah kita berduka dengan musibah banjir di Sarawak baru-baru ini ada juga yang cuba menangguk di air keruh. Baru sahaja kelihatan kelibat PKR mengagih-agihkan bantuan banjir untuk mereka yang terjejas di Serian, Bau, Batu Kitang dan Tabuan Dayak hari ini di Kuching. Sumbangan yang dihulurkan oleh PKR Selangor diketuai oleh YB Chai Tong Chai, ADUN PKR dari Negeri Sembilan.

Tentang sumbangan itu tidaklah diambil kisah sangat TETAPI yang menjadi kisahnya apabila S4S yang konon-kononnya memperjuangkan hak Sarawak melalui orang Sarawak pula menjadi “nasi tambah” bekerjasama mengarak sumbangan PKR, parti dari Malaya ini. Satu pertanyaan untuk mereka, ke mana pula motto yang dilaungkan selama ini?

Terimalah hakikat bahawa S4S melalui “master” mereka iaitu DAP dan PKR sudah tidak boleh menafikan apa yang dilakukan selama ini adalah untuk menanam rasa kebencian kepada pemerintah agar mereka mampu mencuri hati para pengundi Sarawak. Janganlah bersembunyi dengan laungan “Katakan Tidak Pada Parti Malaya” sebaliknya merekalah musang berbulu ayam sebenarnya.

Lain Dimulut Lain Di Hati, itulah S4S!

Saturday, 27 February 2016

INI BUKAN JANJI KOSONG!


NAMPAK gayanya bertubi-tubi segala pembaharuan dilakukan oleh Ketua Menteri Sarawak di dalam memastikan rakyat Sarawak tidak begitu terasa dengan kos penghidupan yang tinggi sekarang. Sesuatu yang sudah tentu mendapat sepenuh sokongan daripada rakyat Sarawak Bumi Kenyalang. 

Selepas penghapusan semua tol yang kemudiannya penyelarasan setiap pembayaran feri kepada hanya RM1.00 pada akhiran tahun 2015.  Tidak cukup dengan itu, dikala negeri-negeri lain di Malaysia bergelumang dengan kos tariff elektrik yang dinaikkan, Sarawak dibawah Datuk Adenan pula dengan beraninya tampil mengurangkan tariff elektrik untuk rakyatnya. 

Dan ada satu lagi apabila menjelang pertengahan Mac 2016 ini bilamana Datuk Adenan ketika satu program TV1 26/2/2016 “Tanya Tok Nan” sekali lagi menyatakan bahawa cukai tanah (quit rent) untuk rakyat Sarawak akan dihapuskan.  Beliau akan mengumumkan tidak lama lagi.  Sudah tentu ini merupakan berita gembira untuk semua rakyat Sarawak. 

Kelantangan beliau memperjuangkan hak Sarawak bukan lagi satu cerita lama malah telah dibuktikan. Keikhlasan beliau yang memahami kepayahan rakyat Sarawak bukannya satu janji kosong.  

BELAGA PUNYA CERITA!


DAHULU kawasan ini mempunyai satu kerusi DUN sahaja tetapi untuk PRN Ke-11 ini ianya sudahpun dibahagikan kepada 2 kerusi dengan menampilkan N65 Belaga dan N66 Murum.  Kedua-dua kerusi ini mempunyai jumlah pengundi berdaftar yang hampir sama banyak iaitu N65 Belaga seramai 7,218 pengundi manakala N66 Murum seramai 7648 pengundi.  Dan majoriti pengundi di kedua-dua kawasan ini adalah dari Kaum Orang Ulu Sarawak. 
Setelah Murum disahkan sebagai antara salah satu kerusi baru untuk PRN Ke-11 ini iaitu sejak dari tahun 2015 lagi telah terdengar corat-coret akar umbi di Murum mahukan kerusi Murum diserahkan untuk diwakili oleh PBB.  Ini kerana dikatakan PBB di Murum lebih dekat dengan rakyat berdasarkan jumlah keanggotaan PBB yang ramai di Murum berbanding di PRS. 
Tetapi di dalam pada itu, sejak dari awal-awal lagi PRS sudah menyatakan bahawa Murum  adalah untuk mereka dan diwar-warkan bahawa mereka akan meletakkan calon PRS dari etnik Kenyah untuk Murum.  Disamping itu mereka akan terus mempertahan Belaga yang juga akan diwakili oleh PRS, antara parti komponen BN Sarawak. 
Di dalam keasyikan cerita parti manakah yang menjadi “Winnable Candidate” untuk N66 Murum ini tersebar pula cerita di Belaga yang tidak berapa enak didengar.  Ada segelintir kumpulan di Belaga yang sekarang sedang menghembus angin taufan di Belaga iaitu mengenai Adun Belaga sekarang yang dikatakan tidak memperjelaskan mengenai isu wang royalti Hidro Bakun dan juga wang RM20 juta daripada Ketua Menteri Sarawak yang tidak sampai kepada rakyat yang sebenarnya. 
Jika benar hal ini berlaku maka sepatutnya Adun yang berkenaan mencari inisiatif terbaik berjumpa dengan rakyat Belaga itu sendiri agar hal ini tidak akan menjejaskan sebarang keputusan sewaktu PRN Ke-11 nanti.  Kadang-kadang kita kena akur dengan bidalan orang lama-lama.. Hanya kerana nila setitik habis susu sebelanga.  

Friday, 26 February 2016

KEPUTUSAN UMPAMA MENARIK RAMBUT DARI TEPUNG


PRN~11: KEPUTUSAN umpama menarik rambut dari tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berselerak...Datuk Adenan Satem bakal mempertaruhkan calon bebas mampu menang sebagai calon langsung Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke~11 nanti.
Tindakan ini digunapakai sekiranya kemelut dalaman antara parti kompenan Barisan Nasional (BN) dan parti mesra BN yang kini berebut untuk meletakkan calon mewakili BN, gagal diselesaikan.
Datuk Adenan dijangka mengumumkan senarai penuh calon BN yang bertanding, bulan depan. Umum sedia maklum, parti SUPP dan UPP memiliki barisan calon masing~masing, begitu juga SPDP dan TERAS.

Thursday, 25 February 2016

TINJAUAN UDARA




DUA pesawat Bombardier CL415 milik Unit Udara Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) melakukan tinjauan udara lebih 1,000 kaki dari paras laut bagi mengenalpasti beberapa lokasi kebakaran hutan gambut di Kuala Baram, sebelum kaedah semburan air dilepaskan dari pesawat.
Pengalaman mengikuti operasi membuktikan tugas unit ini bukanlah semudah yang disangka dan tidak seindah yang disaksikan.
Tiupan angin kencang dan cuaca panas selain laluan trafik sepanjang Sungai Batang Baram dengan aktiviti perkapalan dan halangan kayu balak hanyut, antara cabaran yang terpaksa ditempuhi Komander Azizan Mohd Bujang dan 13 lagi krew sepanjang dua hari operasi khas APMM di Miri.

Setiap satu pesawat melakukan enam jam penerbangan sehari, purata 30 kali semburan udara dengan kapasiti 6,000 liter air dilepaskan. Kos untuk satu jam operasi ini mencecah RM25,000.
Operasi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri memadam kebakaran, yang lokasinya sukar ditembusi melalui jalan darat ini menarik perhatian masyarakat Miri yang kagum dengan tugas murni mereka, sebaik sahaja sebahagian rakaman video operasi udara viral di media sosial tempatan.
Komander Azizan yang berasal dari Kampung Semerah Padi, Kuching dan anggota bawahannya turut mendapat sokongan moral dan penghargaan terima kasih dari Dato Sebastian Ting, Adam Yii dan Datuk Lee Khim Shin, tiga calon SUPP~Barisan Nasional di Miri.

'BOMBING WATER' ATASI KEBAKARAN HUTAN


KESAN kemusnahan akibat kebakaran berleluasa hutan paya gambut dan belukar sekunder di Kuala Baram dan berhampiran Institut Latihan Perindustrian Miri (ILP).

Miri berkepadatan penduduk 200,000 orang mencatitkan bacaan Indek Pencemaran Udara (IPU) 485, yang terburuk Ahad lepas. Tiupan angin kencang dan beberapa tompok kebakaran di hutan Brunei Darussalam, kira~kira 16 kilometer dari Kuala Baram memburukkan lagi keadaan.

Unit Udara Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) berpangkalan di Subang kini sedang giat memadam baki kebakaran kawasan hutan paya gambut berkeluasan 50 ekar.

Pada ketinggian 500 kaki dari paras laut, dua buah pesawat APMM bergilir~gilir melakukan semburan 'bombing water'. Dianggarkan 6,000 liter air laut diceduk setiapkali semburan 'bombing water'. 

Tuesday, 23 February 2016

POLISI PENDIDIKAN … SALAHKAH CM SARAWAK?


APABILA Ketua Menteri Sarawak, Datuk Adenan hendak meminta autonomi pendidikan seperti yang termaktub sewaktu Perjanjian Malaysia 1963 dan juga IGC Report ramai rakyat Sarawak yang menyokong usaha beliau.  Ini kerana kita sebagai rakyat Malaysia sudah mengetahui betapa dasar pendidikan ini amat mustahak untuk membentuk satu generasi yang berilmu dan berkualiti. 

Pada tanggal 13hb November 2015, Datuk Adenan sekali lagi menekan kepada Putrajaya bahawa beliau serius untuk memastikan bahawa Sarawak juga turut diberi ruang untuk membuat keputusan mengenai Dasar Pendidikan Negara.  Di dalam pada itu, beliau juga turut menekankan bagaimana subjek Sejarah yang dipelajari sekarang harus juga dirombak kerana dikatakan berat sebelah seperti Sarawak itu tidak mempunyai sejarah dengan “memenangkan” sejarah di pihak Semenanjung Malaysia. 

Kemudian, isu pendidikan sekolah Cina di Sarawak melalui pengiktirafan kepada UEC (Unified Examination Certificate) iaitu satu peperiksaan untuk pelajar-pelajar yang menuntut di sekolah aliran Cina pula diperjuangkan beliau.  Jika dahulunya UEC langsung tidak dapat memberikan apa-apa keistimewaan kepada pelajar di sekolah persendirian Cina namun atas inisiatif beliau UEC berkelayakan untuk memohon biasiswa Yayasan Sarawak jika hendak melanjutkan pelajaran.  Bukan itu sahaja, mereka juga berkelayakan untuk memasuki sektor awam Kerajaan Negeri Sarawak. 

Di sebalik sokongan dari rakyat Sarawak ternyata ada juga suara-suara sumbang yang mempertikaikan kesungguhan Datuk Adenan dengan polisi pendidikan ini.  Lebih-lebih lagi daripada pihak pembangkang terutamanya DAP yang mula memainkan isu ini sebagai meraih simpati ke atas mereka. Memang sudah nyata sama sekali DAP lebih gemar untuk berpolitik daripada membela untung nasib masyarakat Cina itu sendiri yang menjadi penyokong kuat mereka. 

Mungkin sudah terdesak kerana parti pembangkang seperti hilang punca dikala usaha Datuk Adenan sudah mampu meraih kepercayaan penyokong mereka selama ini sehingga membuatkan mereka melakukan apa sahaja untuk menggagalkannya. Dahulu, pihak pembangkang Sarawak sering mengwar-warkan bahawa mereka mahu menjadi “check and balance” di dalam kerajaan tetapi sekarang mengapa hendak memutarbelit kenyataan?

Tidak bolehkah pihak pembangkang menyokong tindakan ini kerana sewajarnya kita jauhkan isu pendidikan daripada alam politik.  Yang penting sekarang adalah memastikan bahawa generasi muda kita akan tidak terpalit dengan kancah-kancah polisi yang terumbang-ambing. Kita buang jauh-jauh segala hal “survival politik” sebaliknya kita jadikan misi dan visi kita menjadi rakyat Sarawak yang berilmu itu sebagai satu yang utama. 

Salahkah Ketua Menteri Sarawak memperjuangkan autonomi Pendidikan untuk kita?

Tepuk Dada Tanya Iman. 

DARIPADA ANAK SARAWAK KEPADA ORANG SARAWAK


50 Prinsip Dan Tindakan

USAH dikatakan sebagai satu polemik bagi meraih undi kerana 50 prinsip dan tindakan daripada Ketua Menteri Sarawak ini merupakan sesuatu yang telah diusahakannya jauh sebelum pilihanraya itu hendak menjelang sebaliknya yang dijanjikannya ketika pertama kali memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak pada tahun 2014 lagi.

Disebalik suara-suara sumbang yang memperkecilkan inisiatif beliau ini, ternyata Datuk Adenan tetap cekal membelah badai menjadikannya setiap satu daripada menjadi kenyataan.  Ada yang sesetengahnya telah dibuktikan dan ada juga yang sudah tentu memerlukan proses yang agak lama namun menyerah belum lagi seperti serangkap pantun yang sering beliau ucapkan.

Nyiur gading puncak mahligai
Ketupat jua berisi inti
Hancur daging tulang berkecai
Belum ku dapat belum ku berhenti.

Apa yang dipaparkan menjadi teaser artikel ini adalah 50 Prinsip dan Tindakan yang dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Menteri Sarawak untuk rakyat Sarawak menjadikannya satu azimat dan juga sebagai satu akujanji Datuk Adenan dan barisan kabinetnya.

Sunday, 21 February 2016

DEWAN UNDANGAN NEGERI SARAWAK


SUDAH tentu ramai yang tidak menyedari satu kenyataan mengenai Dewan Undangan Negeri Sarawak merupakan dewan perundangan yang tertua sekali di Malaysia.  Jadi DUN yang kita hormati ini bukan sahaja gah dengan bangunannya sekarang malah juga sejarah penubuhannya.  

Ditubuhkan pada tanggal 8hb September 1867 oleh Rajah James Brooke di sebuah perkampungan nelayan kecil yang dikenali dengan nama Bintulu, sekarang.  Pada masa itu digelar General Council dengan keanggotaan ahlinya seramai 21 orang.  Pemilihan keahlian itu pula terdiri daripada pemimpin-pemimpin kaum di Sarawak. 

Menurut rekod sejarah juga menyaksikan General Council sewaktu era Brooke memerintah mengadakan mesyuarat pertama di Bintulu.  Kemudian sekitar tahun 1868, mesyuarat General Council telah diadakan di Fort Sibu. 

Kemudiannya namanya ditukar kepada Council Negeri dan menyaksikan ahli mesyuaratnya turut semakin besar.  Jika pada mulanya dianggotai oleh pemimpin dari kaum bumiputera Sarawak akhirnya turut dipilih pemimpin dari kalangan kaum Cina menganggotainya. 

DUN Sarawak telah melewati 3 zaman pemerintahan yang berbeza bermula dariapada Brooke kemudian Pendudukan Jepun.  Selepas itu menyaksikan Sarawak dijajah oleh Koloni British dan akhirnya pada 22hb Julai 1963 ianya terus gagah diwakili oleh anak watan Sarawak sendiri.

Kemudian pada tanggal 16hb September 1963 iaitu pembentukan Malaysia, DUN Sarawak tetap berfungsi sebagai asas kepada pentadbiran bagi Sarawak pada ketika itu. Malah ahli-ahli DUN Sarawak juga dipilih melalui sistem pilihanraya iaitu amalan demokrasi yang diamalkan oleh setiap negara merdeka sehingga sekarang.

HANYA SEKADAR PUBLISITI MURAHAN


MENJENGAH sahaja bulan Februari lebih –lebih di ketika rakyat Sarawak sedang diambang PRN Ke-11 bagai datang tidak diundang ada pula satu grup yang menggelar diri mereka Sarawak For Sarawakian hendak menjadi jaguh kampung. Mungkin ramai tidak menyedarinya tetapi inilah yang diwar-warkan seperti di pautan ini bertarikh 31 Januari 2016.

S4S plans ‘mother of all debates’ for S’wak polls
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2016/01/31/s4s-plans-mother-of-all-debates-for-swak-polls/

Konon-kononnya mereka ini mewakili rakyat Sarawak untuk mencari siapakah yang hendak disokong apabila PRN Ke-11 kelak. Dan debat yang dirancangkan itu pula bertarikh 10 April 2016 antara Datuk Adenan dengan YB Baru Bian dari PKR. Lagi mengelirukan bahawa tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk memperjuangkan autonomi bagi Sarawak.

Tetapi masalahnya selama ini telah terbukti bahawa pentadbiran Datuk Adenan adalah yang terlebih dahulu membuat segala tuntutan dengan Putrajaya. Bukan satu kejayaannya sahaja malah banyak dan sekarang ada beberapa lagi autonomi yang masih di dalam peringkat perbincangan kedua.

Jadi apakah maksud S4S ini sebenarnya? Mengaku sahajalah bahawa kumpulan S4S dan juga “kuncu-kuncu politik” mereka sudah pasrah bahawa kelantangan Datuk Adenan menuntut dan mempertahankan hak-hak Sarawak sudah terbukti sepenuhnya sedangkan S4S masih lagi terkial-kial.

Tidak payahlah membuang masa serta terus memberi harapan palsu kepada masyarakat sedangkan hakikatnya S4S hanya sekadar untuk mencari publisiti murahan. Ini kerana mereka sudah tidak terlawan akan aura “Adenan Ways” yang sebenarnya sudah mula mendapat sokongan dari ramai rakyat Sarawak. 

PERSOALANNYA



PERSOALANNYA...Mungkinkah tindakbalas alam semulajadi terlalu pantas mengubah keadaan menjadi fenomena luar biasa.
Ataukah kerakusan manusia terhadap persekitaran atas nama kuasa pembangunan sehingga mata terpejam dan mengenepikan aspek pemuliharaan alam sekitar.
Akhirnya tanpa rela, rakyat menanggung akibat kemusnahan berlaku di luar jangkaan.
Senario di Kampung Sorak Melayu, Tebakang dan kebakaran tanah gambut di Permyjaya, Miri.

Saturday, 20 February 2016

EPISOD BADAI MENGHEMPAS DUN LINGGA…. APAKAH KESUDAHANNYA?


DI TENGAH-TENGAH kerancakan Bahagian Sri Aman yang sekarang sedang mentransformasikan bahagiannya agar searas dengan Bandar-bandar besar yang lain di Sarawak, Lingga pula mempunyai ceritanya yang tersendiri.
 
Lingga salah satu kerusi dewan undangan negeri Sarawak yang berabad lamanya diwakili oleh PBB-Sarawak dan sejak dari PRN Ke-10 2011 ianya diwakili oleh YB Puan Hajjah Simoi Peri.  Untuk rekod pada PRN 2011 ini beliau memenangi kerusi N28 Lingga dengan undian sebanyak 3652 undi mengatasi 2 lawannya iaitu Abang Ahmad Arabi Abang Bolhassan (PR) dan Abang Othman bin Abang Haji Gom (SNAP). 
Namun di dalam ketenangan Lingga yang juga terkenal dengan masyarakat Melayu dan Ibannya yang kaya dengan hasil laut ini rupa-rupanya ada juga episode badai menghempas Lingga.  Di dalam corat coret sejak di akhir tahun 2015 lagi yang mana Datuk Adenan sebagai Pengerusi BN Sarawak telah memberikan mandat awal kepada YB Puan Hajjah Simoi Peri untuk terus mewakili Linggi, baru-baru ini bertiup kencang akan permintaan rakyat Lingga mempersoalkan kewajarannya.
Banyak isu-isu pembangunan yang diutarakan oleh rakyat Lingga yang tidak berpuashati dengan YB mereka.  Mereka mempersoalkan mengapa Lingga masih lagi keterbelakang dari isu pembangunan.  Contohnya mengenai Pasar Lingga yang masih daif dan tiada bezanya dengan pasar lingga di tahun 1970an. 
Bukan itu sahaja isu seperti bekalan air bersih untuk kawasan pedalaman Lingga juga turut diutarakan secara sinis oleh rakyat Lingga sehingga ada yang mengatakan memang ada air paip dibekalkan tetapi kepala paipnya ada tetapi airnya tiada.  Dan kalau ada sekalipun air paip yang didapati kekuningan seumpama membekalkan air tanah kepada rakyat Lingga.  Jika hendak membuat “wish list” dari rakyat Lingga ini sudah tentu banyak dan disini hanya mampu menulis apa adanya. 
Natijahnya ekoran daripada ketidakpuasan hati segelintir rakyat Lingga sehingga ada yang berani membuka fb page atas nama “Undur Semoi” baru-baru ini.  Dan ianya menjadi berpanjangan apabila ahli PBB Lingga membuat satu laporan polis bagi mencari dalang kepada pentadbir page “Undur Semoi” yang cuba menghasut rakyat di Lingga. 
Hakikatnya, YB Lingga ini bukanlah seorang ADUN yang hanya berpeluk tubuh semata-mata.  Di dalam kekalutan DUN Lingga ini banyak juga yang telah beliau usahakan.  Mungkin usaha beliau belum cukup kuat lagi untuk menambat hati rakyat Lingga. 
Apakah badai yang menghempas DUN Lingga ini akan berakhir dengan baik kerana kuasa pengundi itu terletak pada rakyat Lingga itu sendiri.  Atau adakah dengan adanya ketidakpuasan hati ini akan menyebabkan YB Lingga ini tidak tersenarai sebagai “Winnable Candidate” apabila menjelang penamaan calon PRN Ke-11 kelak.  Kita tunggulah kesudahannya nanti. 

ANUGERAH ALAM...



DESTINASI mendamaikan ini pernah dikenali sebagai "Little Hong Kong" dan "Casino Macau" selain sinomin dengan gelaran "Hawaii Beach". Kedudukannya strategik menghadap Laut China Selatan, terpisah oleh aliran sungai.

Tidak dapat dipastikan siapa peneroka terawal namun terdapat sebuah rumah tradisi yang kekal teguh berdiri.

Berdasarkan struktur rumah yang masih selamat didiami dan hanya sedikit penambahbaikan, rumah yang didirikan di atas tanah milik persendirian ini, sudah wujud sejak 60 tahun lalu. 

Thursday, 18 February 2016

HARAPAN HEBAT LUAR BIASA.

HARAPAN tiga gadis ini hebatnya luar biasa...memecah tradisi penguasaan pantun melayu yang kebiasaannya didominasikan orang Melayu sekaligus di bahu mereka menggalas usaha mengangkat martabat pantun Melayu oleh pemantun bukan Melayu.
Dinobatkan pemenang Pesta Pantun Intergrasi Budaya, Kolej Ibu Zain, UKM, mengalir airmata kegembiraan Marlia Kilat, Angeline Cynthia Antai dan Emily Stephen Tanang, gadis etnik Iban dan Bidayuh dari Sekolah Menengah Kerajaan Song, Kapit, tersembunyi segala kesukaran perjalanan yang mereka lalui selama beberapa hari dari Kapit untuk sampai ke Semenanjung Malaysia.
Menempuhi perjalanan sukar dengan kenderaan pacuan empat roda, menaiki bot panjang dan bertukar kereta seterusnya berada di dalam kapalterbang, tidak terlintas di fikiran mereka, bakal menempa kejayaan berganda.
Emily dinobatkan Pemenang Anugerah Pemantun Terbaik Akhir dan Marlia merangkul Anugerah Pemantun Terbaik Keseluruhan.
Luar biasa hebatnya, SMK Song yang dikategorikan sekolah pedalaman Sarawak mengekalkan kejuaraan mereka tahun lalu dan menewaskan 15 buah sekolah lain dari Semenanjung Malaysia yang jauh lebih baik dari segi persiapan dan perjalanan mereka ke UKM.
Tiada siapa boleh memperlekehkan semangat juang gadis manis dari pedalaman ini. Kesukaran yang diharungi memacu keinginan mereka untuk menuju puncak kejayaan sukar ditanding.
Siapa pun tidak dapat menafikan mereka generasi bukan Melayu yang berjaya memecah tembok tradisi pantun Melayu.
Sukar mempercayai perjalanan mereka menuju puncak kejayaan menjulang nama Sarawak tapi itulah realiti ceritanya.
Tahniah Marlia, Angeline, Emily dan SMK Song, Kapit. 

BAHARU TAPI RUPANYA KLISE


MUNGKINKAH keyakinan DAP di Sarawak kini goyah? Terbaharu tindakan Nga Kor Ming menyemaikan sentimen perkauman di kalangan rakyat (perkara klise yang diulang tayang) jelas menggambarkan parti DAP sudah ketandusan idea kreatif.
Tindakan Ahli Parlimen Taiping itu secara tidak langsung mempamerkan ketakutan DAP dengan kesan kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Adenan Satem terhadap masyarakat Cina di negeri ini.
Sejak menerajui Sarawak, Datuk Adenan berusaha merapatkan jurang masyarakat di Sarawak dan tidak terkecuali kaum Cina.
Terbukti beliau mengotakan kata~katanya apabila Datuk Adenan mengumumkan bantuan kewangan kerajaan negeri dengan sejumlah nilai yang besar terhadap ADUN DAP di Sibu yang sedang sakit tenat ketika itu.
Rasanya pemimpin tertinggi DAP sendiri tidak mampu melakukan tindakan seperti Datuk Adenan yang dianggap luar biasa ketika itu. Banyak lagi yang dilakukan Datuk Adenan untuk masyarakat Cina di Sarawak.
Bukan bermotifkan pancing undi menjelang pilihan raya negeri (PRN) Ke~11 tetapi inilah realiti kepimpinan Datuk Adenan yang di luar sedar telah sedikit sebanyak menggusarkan pucuk pimpinan DAP.
Mungkinkah sebenarnya DAP malu mengakui kewibawaan Datuk Adenan menerajui Sarawak, gentar dengan kelantangan suara beliau menolak kemasukan parti pembangkang ke Sarawak dan berusaha menafikan kerja keras Datuk Adenan menjalinkan kerjasama erat Sarawak dengan kerajaan Pusat.
Terdesak DAP sehingga sanggup memutarbelit fakta, menabur fitnah dan mengulang tayang cerita tapi konsepnya sudah klise. 

Wednesday, 17 February 2016

DARI TULANG RUSUK KIRI LELAKI, LAHIRLAH SRIKANDI


DARI tulang rusuk kiri lelaki, lahirlah srikandi… inilah kata-kata perumpamaan untuk golongan wanita-wanita kita.
  Tiada yang boleh menafikan betapa wanita itu juga adalah antara tiang sandaran untuk memperkuatkan sesuatu bangsa mahupun Negara.

Berbicara corat-coret politik di Sarawak, sememangnya tidak pernah kurang ahli politik di Sarawak yang terdiri daripada golongan wanita.  Sejak berdirinya Sarawak, Malaysia itu sendiri menyaksikan dunia politik Sarawak diwarnai nama-nama besar seperti Datuk Ajibah Abol yang merupakan Menteri Wanita Pertama di dalam Kabinet Sarawak suatu waktu dahulu.  Tidak kurang juga Datuk Paduka Jorkinah Hashim @ Sitom yang mewarnai dunia politik Sarawak sewaktu pembentukan Malaysia suatu waktu dahulu. 

Dan sekarang kita diwarnai dengan nama-nama besar ahli politik wanita Sarawak yang diberikan kepercayaan untuk mengungguli kementerian-kementerian besar Kabinet Malaysia seperti Datuk Paduka Rohani Karim (Kementerian Pembangunan Wanita Dan Masyarakat) dan Hajjah Nancy Syukri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).  Ini merupakan menteri wanita Sarawak di peringkat persekutuan sekarang. 

Di dalam lanskap politik Sarawak sendiri sekarang hanya ada beberapa kerat nama ahli politik wanita Sarawak seperti YB Puan Syarifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (N07 Semariang), Yb Puan Hajjah Simoi Peri (N28 Lingga), YB Datin Hajjah Fatimah Abdullah (N56 Dalat) dan YB Puan Rosey Yunus (N71 Bekenu).  Inilah sahaja nama-nama ahli politik wanita Sarawak yang masih lagi mengungguli lanskap politik iaitu hanya 4 kerusi berbanding daripada 71 kerusi pada PRN Ke-10 2011 lepas yang didominasi oleh ahli politik lelaki Sarawak. 

Bukannya untuk menimbulkan rasa kurang senang dengan usulan “gender competition” namun begitu sudah sampai masanya calon-calon pilihanraya untuk PRN Ke-11 ini juga turut menampilkan lebih ramai ahli politik wanita Sarawak. Hakikatnya di Sarawak tidak pernah ketandusan wanita-wanita yang berwibawa untuk mengemudi sesuatu kawasan di dalam DUN Sarawak kelak. 

Selain daripada itu janganlah hanya memberi peluang untuk bertanding sahaja sebaliknya sekiranya menang kelak, berilah juga peluang untuk mereka memegang jawatan Menteri kerana buat masa sekarang hanya ada YB Puan Hajjah Fatimah Abdullah (Menteri di
Kementerian Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak) dan YB Puan Rosey Yunus (Menteri Muda di Kementerian Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak) yang mengungguli Kabinet Negeri Sarawak manakala YB Puan Hajjah Syarifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pula sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri. 

Adalah diharap dibawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Datuk Adenan akan boleh memberikan lebih “keadilan” buat wanita-wanita Sarawak berbakti dan berkhidmat untuk lebih berkesan kepada masyarakat. 

Tangan Yang Menghayun Buaian Itu Juga Boleh Mengoncangkan Dunia!


31 BRIGED SEMPADAN UNTUK SARAWAK


PENUBUHAN 31 Briged Sempadan seperti yang telah diwar-warkan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sewaktu lawatan kerjanya ke Sarawak tempohari adalah umpama mengimbau sejarah lama Sarawak Bumi Kenyalang suatu waktu dahulu.  Menurut beliau, penubuhan 31 Briged Sempadan ini perlu bagi mengimbangi beban tugas pasukan infantri yang sedia ada serta memastikan sempadan Sarawak tidak mudah dibolosi oleh mana-mana musuh Negara. 

Ini merupakan satu peluang kepada anak Sarawak itu sendiri apabila dengan adanya penubuhan 31 Briged Sempadan sudah tentu membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat.  Jumlah peluang pekerjaan itu sendiri dikatakan 5,000 kekosongan yang hanya dibuka untuk anak Sarawak kerana hanya anak tempatan Sarawak yang lebih memahami selok belok ibu pertiwinya sendiri. 

Usahlah dikuatirkan tentang keberanian kerana sejarah membuktikan bahawa suatu waktu dahulu di ketika era konfrantasi Malaysia-Indonesia yang berlangsung dari tahun 1962 sehingga 1966, British pada waktu itu juga bersandar kepada kekuatan dan keberanian anak Sarawak untuk menjaga serta mengawal selia sempadan Sarawak.  Sekitar tahun 1964, British bersama Kerajaan Malaysia telah membentuk “Borneo Border Scout” yang tujuannya adalah untuk membantu beberapa “Komanwel joint army” memerangi musuh Negara di perbatasan. 

Tidak sedikit anak Sarawak mahupun Sabah menyahut seruan Kerajaan pada masa itu.  Mereka menjadi tulang belakang kepada pasukan Komanwel untuk mempertingkatkan kekuatan serta memastikan musuh-musuh menyelusup masuk ke Sarawak mahupun Sabah melalui sempadan.  Ditambah lagi pasukan “Iban Trackers” yang telah diserapkan menjadi battalion renjer juga mempunyai kepakarana yang sama. 

Dan apa yang diwar-warkan oleh Menteri Pertahanan itu adalah satu berita baik untuk kita semua kerana kita sendiri sebagai anak Sarawak yang akan bersama-sama dengan pasukan tentera Malaysia bergandingbahu menjaga kedaulatan Negara kita sendiri.  Kita tunjukkan bahawa kita juga walau generasi baru anak Sarawak juga mempunyai darah “bujang berani” seperti nenek moyang kita dahulu. 

Ingatlah Presiden Sukarno pernah berkata sewaktu ucapannya ketika berlangsungnya era Konfrantasi Indonesia-Malaysia suatu waktu dahulu.

“..Tentera Iban ini datangnya tidak diundang, saat pergi semua bala tenteraku hilang nyawa. Ramai yang bercerai dari badan dan kepala. Mereka sungguh pantas hinggakan tidak terlihat oleh mata manusia”. –Presiden Sukarno-

Hanya orang Sarawak yang mengenal apa itu Sarawak.


Tuesday, 16 February 2016

ADA YANG BARU, YANG LAMA JANGAN DILUPAKAN


DERETAN perahu kecil, senario pagi di tebingan pekan Bekenu, Sibuti.

Perahu masih menjadi pengangkutan bagi segelintir masyarakat tradisi yang mendiami pinggiran Sungai Sibuti, setiap pagi berulangalik untuk urusniaga di Tamu Bekenu. 

Ada di kalangan wanita Kedayan Sibuti memudiki sendiri perahu kecil ini seawal jam 4 pagi dari Kampung Bulau menghantar hasil tani dan buah~buahan untuk keperluan pemborong dari Miri dan Brunei Darussalam. 

Meskipun ada perhubungan jalan darat namun bagi mereka, memudiki sendiri perahu kecil ini lebih praktikal berbanding menyewa van persendirian. 

Sekalipun ada yang baru tidak bermakna yang lama dan telah banyak berjasa dalam melayari kehidupan rutin harian harus dilupakan begitu sahaja.

RAMPAS KERUSI BA'KELALAN

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) Sarawak mampu merampas semula kerusi Ba'Kelalan yang kini dikuasai parti pembangkang.
Pengerusi BN Sarawak, Datuk Adenan Satem, yakin itu tidak mustahil berasaskan kekuatan dan kesepakatan yang dimiliki semua parti kompenan BN Sarawak dan mengenepikan persengketaan sesama sendiri.
"Asal kita bersatupadu dan tidak bergaduh, BN Sarawak boleh menang dan merampas semula Ba'Kelalan pada pilihan raya (PRN) nanti," katanya ketika program Memperkasa Jentera PRN Ke~11 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Cawangan Bukit Kota, Batu Danau, Bukit Sari dan Ba'Kelalan di Lawas.
Kerusi Ba'Kelalan kini dimiliki Pengerusi Parti Keadilan Sarawak (PKR), Baru Bian (2,505 undi). Calon BN~SPDP, Willie Liau (2,032 undi) tewas majoriti 473 undi pada PRN Ke~10 (2011). Sejumlah 6,958 pengundi berdaftar di DUN Ba'Kelalan. 

Sunday, 14 February 2016

ALI MAHMUD KE STAKAN?


STAKAN merupakan satu lagi DUN baru mengikut persempadanan semula kawasan pilihanraya yang diletakkan sebagai N17 Stakan dibawah Parlimen Kota Samarahan.
  Satu kawasan yang kecil tetapi jumlah pengundinya cukup besar iaitu sebanyak 12,761 pengundi berdaftar.  Di Stakan ini sahaja dihuni oleh pelbagai etnik dengan majoritinya adalah Melayu Sarawak dan Iban. 

Kerana ianya DUN baru maka seperti kebiasaannya ramai yang merasakan Stakan ini harus diwakili oleh muka-muka baru di dalam PBB.  Tidak itu sahaja telah ada khabar angin orang Stakan pula mahukan anak tempatan mewakili mereka kerana tiba masanya anak tempatan yang diberikan mandat untuk memimpin kawasan mereka.

Jadi bagaimana pula dengan Dato Seri Haji Mohammad Ali Mahmud yang sejak Januari 2016 lagi mengatakan bahawa beliau bersedia untuk ke Stakan kerana beliau kenal kawasan tersebut.  Seorang YB yang tidak kurang “bisanya” di Muara Tuang kerana sudah lebih 2 penggal menerajuinya sudah tentu juga calon yang berpengalaman untuk memimpin kawasan baru.  Sentuhan dan idea beliau sebagai seorang ahli perniagaan berjaya bolehlah digunakan untuk kemajuan dan pembangunan Stakan sepertimana beliau memimpin Muara Tuang. 

Pemilihan “Winnable Candidate” untuk Stakan juga menuntut satu formula yang terbaik daripada Datuk Adenan sebagai Pengerusi Barisan Nasional Sarawak dan juga Presiden PBB.  Diletakkan Ali Mahmud di Stakan bagaimana permintaan akar umbi? Dan pengganti di DUN Muara Tuang harus bukan calang-calang orangnya kerana kepimpinan Ali Mahmud telah meletakkan penanda aras yang tinggi di sini. 


RASIONALNYA 22 JULAI 1963


“KITA menuntut Putrajaya untuk mengiktiraf 22hb Julai sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak dan juga cuti umum untuk negeri Sarawak bukan bermakna kita hendak keluar dari Malaysia” –Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak.

Sudah terang lagi bersuluh, apa yang diperkatakan oleh KM Datuk Adenan itu merupakan antara janjinya untuk membawa kembali autonomi yang menjadi hak kita.  Sememangnya tiada apa yang harus ditakuti oleh Putrajaya kerana 22 Julai 1963 merupakan tarikh “self-governing” Sarawak sebagai sebuah Negara yang merdeka daripada penjajahan Koloni British Borneo.  Jadi mengiktirafkan tarikh keramat itu juga adalah antara sesuatu yang bermakna kepada rakyat Sarawak Bumi Kenyalang khususnya. 

Menyelusuri sejarah Sarawak ini membuktikan iaitu pada tahun 1962 menyaksikan satu pilihanraya dibawah seliaan Koloni British Borneo dilangsungkan di Sarawak. Parti-parti politik seperti
SNAP, PANAS, SUPP dan PESAKA yang merupakan parti politik tempatan Sarawak turut bertanding bagi membentuk satu kabinet berkerajaan sendiri.  SNAP menang besar di dalam pilihanraya 1962.

Usai pilihanraya tersebut barulah Gabenor British iaitu Sir Alexander Waddel bersama-sama dengan rakyat Sarawak menyaksikan upacara bersejarah iaitu menurunkan bendera Union Jack dan seterusnya menaikkan bendera Sarawak di Round Tower pada tanggal 22hb Julai 1963.  Simbolik kepada penurunan bendera ini merupakan salah satu daripada amalan untuk setiap Negara yang menuju kepada kemerdekaan. 

Sehari sebelum hari bersejarah itu iaitu pada tanggal 21hb Julai 1963, dengan mandat daripada Koloni British akhirnya seorang anak watan Sarawak iaitu Tan Sri Datuk Stephen Kalong Ningkan telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama.  Dan pada tanggal 23hb Julai 1963, lahirlah pula barisan kabinet Sarawak yang pertama yang dianggotai oleh anak Sarawak iaitu Abdul Taib bin Mahmud, James Wong Kim Ming, Dustan Endawi anak Enchana, Awang Hipni bin Pengiran Anu dan Teo Kui Seng. 

Sejarah ini tidak boleh diperlekehkan kerana ianya sememangnya membuktikan bahawa Sarawak itu merdeka pada 22hb Julai 1963 walaupun ada suara-suara sumbang mengatakan ianya “Fake Independence” kerana 54 hari selepas itu Sarawak membentuk Malaysia pada tanggal 16 September 1963 malahan sepanjang tempoh tersebut menurut mereka Sir Alexander Waddel masih lagi mengungguli kabinet Sarawak. 

Mungkin mereka yang bersuara sumbang tidak pernah berfikir bahawa sebagai sebuah Negara yang baru merdeka ianya umpama seperti bayi yang baru lahir. Sudah tentu banyak penyerahan tugas antara kerajaan memerlukan sedikit masa.  Dan mungkin mereka ini tidak mengetahui bahawa Kabinet Sarawak pada masa itu turut membuat usulan di Sarawak Supreme Council samada Sarawak mahu atau tidak menyokong penubuhan Malaysia dan ternyata Sarawak senada seirama dengan Malaya, North Borneo dan Singapura untuk membentuk Malaysia pada 16 September 1963. 

Jadi rasionalnya 22hb Julai 1963 itu sebagai tarikh kemerdekaan Sarawak terbukti di dalam sejarah.  Rakyat Sarawak mahukan ianya diiktiraf dan apa yang dilakukan oleh Ketua Menteri Datuk Adenan adalah dari rakyat Sarawak untuk Sarawak.  

Thursday, 11 February 2016

MUKABUKU DAN KITA

DAHULU sebelum ada “dunia maya” ramai antara kita duduk di tepi radio mendengar khabar berita untuk hebahan semua. Kemudian menjelma pula televisyen walaupun berbentuk hitam putih yang cuma ada 1 siaran dan sekali lagi inilah dunia hebahan untuk kita. Sejajar dengan peredaran zaman maka segalanya begitu cepat dan pantas muncullah pula internet dengan adanya “dunia maya” berbentuk blogs dan banyak lagi. Dan yang paling terserlah adalah mukabuku @ facebook, twitter, instagram, whassap dan banyak lagi.
“Connecting People” itulah motto mukabuku dan hakikatnya ianya benar-benar menghubungkan manusia seantero dunia. Kerana mukabuku rakan taulan, keluarga kita boleh menjejak kasih. Kerana mukabuku ada yang bertemu jodoh sehingga ke jinjang pelamin. Kerana muka buku juga berita yang dahulunya berminggu-minggu baru kita ketahui, sekarang di dalam tempoh beberapa saat sahaja. Ini hanya sebahagian implikasi positif mukabuku yang kita tidak boleh nafikan sama sekali.
Namun di dalam kebaikan mesti ada keburukan kerana ada sesetengah individu menjadikan mukabuku sebagai satu “drama” penghidupan yang hendak didendangkan. Kerana mukabuku juga ada suami isteri yang bercerai berai. Kerana mukabuku juga menjadikan diri kita tidak selamat kerana petualang yang sering menangguk di air keruh ada di mana-mana. Kerana mukabuku juga fitnah atau perkara yang tidak benar berleluasa sehingga kita sendiri yang keliru yang mana satu kepalsuan dan kenyataan. 
Sekarang, mukabuku juga mewarnai politik seantero dunia dan tidak terkecuali di Negara kita Malaysia. Tanpa kita sedari kempen di dunia politik ini bermula sepanjang tahun dan bukannya menunggu masa pilihanraya sahaja. Mukabuku juga menjadi landas penilaian prestasi maya kepada setiap wakil rakyat kita. Mukabuku juga menjadi jentera maya parti-parti dan ahli politik untuk memberitahu rakyat apa yang diusulkan akan menjadi kenyataan dan mukabuku juga menjadi tiang propaganda samada yang berbentuk konspirasi mahupun fitnah politik.  
Rumusannya hampir segenap aspek penghidupan juga berkisar tentang mukabuku dan kita. Dari isu sosial sehinggalah ke ekonomi segalanya “click to facebook”. “Sharing is caring” juga harus berhati-hati dan kita harus memastikan apa yang dikongsikan itu benar-benar sahih ataupun akhirannya kita yang disalahkan. Jadi terpulang kepada kita untuk menterjemah kegunaannya. Mukabuku dan kita "berpisah tiada".