Friday 28 February 2020

TUN M vs MUHYIDDIN: GPS SOKONG SIAPA?


EPISOD kekalutan politik di Malaysia berterusan lagi hari ini apabila Pakatan Harapan mengeluarkan kenyataan media dengan membuat pusingan 360 darjah menyokong semula Tun M sebagai Perdana Menteri Malaysia.  Manakala di pihak Tun M pula menyatakan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kemnya sudah terbelah dua iaitu ada yang menyokong Tun M dan pihak yang satu lagi menyokong Tan Sri Muhyiddin bagi mengemudi Muafakat Nasional dan Barisan Nasional.  

Sekarang dunia memfokuskan apakah pula keputusan dua wilayah Malaysia di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.  Warisan dan GPS yang mengemudi pemerintahan di kedua-dua wilayah ini mempunyai kata putus kerana mempunyai sembilan dan 18 kerusi di Parlimen Malaysia.  Sebelumnya Warisan dan GPS telah mengeluarkan kenyataan untuk menyokong Tun M sebagai Perdana Menteri Malaysia bagi menoktahkan kemelut politik di Malaysia atas nama negara Malaysia didahulukan.  Namun Tun M sendiri yang berdegil dengan pelbagai alasan ditambah tiada sokongan daripada Muafakat Nasional ternyata beliau sendiri tersepit di dalam permainannya sendiri seperti yang kita lihat sekarang.  

Menurut Ketua Penerangan PBB Sarawak iaitu Dato Idris Buang yang juga ADUN Muara Tuang, beliau mempunyai pendapat peribadi mengenai sokongan ke atas Tun Mahathir ataupun TS Muhyiddin.  Bagi beliau sesiapa sahaja calon Perdana Menteri yang bersama DAP di dalam kumpulannya sewajarnya JANGAN DISOKONG! Itulah prinsip yang seharusnya digunapakai oleh GPS kerana kita sendiri mengetahui bahawa Tun M dan Lim Guan Eng adalah antara individu politik yang tidak memberi kerjasama tatkala Sarawak memperjuangkan hak-haknya seperti Perjanjian Malaysia 1963, 5% cukai jualan produk Petroleum, Kanun Tanah Sarawak serta banyak lagi.  

Bagi Dato Idris mengapa perlu GPS membuang masa untuk menyokong mereka yang bertentangan dengan perjuangan dan kehendak rakyat Sarawak.  Lebih baik memilih TS Muhyiddin dan gabungannya yang nescaya lebih terbuka menerima perjuangan rakyat Sarawak dan GPS.  Sekaligus kemelut ini boleh dinoktahkan seberapa segera bagi menjadikan Negara Malaysia yang lebih stabil.  Pandangan dari Dato Idris turut mempunyai nada yang sama seperti yang dilontarkan oleh Tan Sri James Jemut Masing yang mana turut mengatakan GPS tidak akan menyokong mana-mana yang mempunyai DAP didalam gabungannya untuk memerintah Malaysia.  

Untuk makluman semua, setakat ini belum lagi ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahman Zohari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak mengenai kemanakah sokongan GPS disandarkan.  Difahamkan GPS akan hanya mengadakan mesyuarat mengenai hal ini pada petang esok, 1 Mac 2020.  

No comments:

Post a Comment