HANYA kerana seorang pembesar negeri diarak menggunakan tandu maka seorang ahli politik boleh membuat muatnaik berunsur kata nista kepada rakyat di laman mukabukunya. Perbuatan yang seharusnya kita di Sarawak selar kerana selama ke hari ini menghormati adat warisan yang punya kepelbagaian kaum menjadi contoh orang luar. Namun atas nama politik dan demi kelangsungan menagih sokongan maka ADUN Pujut tidak memperdulikannya.
Politik kebencian begitulah yang sering mereka dodoikan sedangkan hakikatnya apa yang dilakukan oleh rakyat di Kabong pada masa itu adalah untuk menjunjung adat warisan Melayu mereka bagi menyambut seorang pembesar yang sudi bertandang ke kawasan mereka. Sememangnya terbukti MP Pujut itu seorang yang langsung tidak mengetahui adat warisan Melayu yang halus serta beradat yang tetap dipertahankan sejak dahulu lagi.
Apa yang dilakukan oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari yang menghormati kehendak rakyat dan telahan lagi beliau pada masa itu adalah seorang tetamu harus menghormati tuan rumah. Mungkin YB Pujut tidak pernah mendengar perumpamaan lama berbunyi sebegini “masuk kandang lembu, menguak dan jika masuk ke kandang kambing, mengembek”. Inilah perumpamaan Melayu yang berkata soal membawa diri di tempat orang.
Diarak menggunakan tandu itu bukanlah sahaja ada di waktu Maharaja China berkuasa malah ianya sudah ada di dalam adat warisan Melayu di Nusantara. Bukan sahaja Raja yang dilakukan sebegitu rupa sebaliknya turut melangkau sehingga ke pembesar-pembesar negeri. Menyamakan apa yang berlaku sewaktu 400 tahun dahulu seperti di Negara China seperti yang dikatakan oleh MP Pujut adalah satu penghinaan buat rakyat Kabong yang sehingga ke hari antara kaum Melayu Sarawak yang masih mengekal dan mempertahankan adat warisan lama Melayu Sarawak yang semakin hilang ditelan dek zaman.
Malulah sebagai ahli politik Sarawak jika hanya bermodalkan politik penghinaan seperti itu. Bila masa pilihanraya menjelang, undi kesemua masyarakat di Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama dituntut dan boleh sahaja mengikuti segala adat warisan kaum pada ketika itu. Tetapi bila berkuasa habis semua hendak dipolitikkan hanya kerana yang diraikan itu bukan sekapal.
Lebat daun si bunga tanjung
Berbau harum bunga cempaka
Adat dijaga pusaka dijunjung
Itulah orang Melayu namanya
No comments:
Post a Comment